
SEORANG majikan wanita warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes penderaan seorang pembantu rumah warga Indonesia, di sebuah rumah di Batu Caves, Gombak, Selangor.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Polis, Zainal Mohamed Mohamed berkata, penahanan suspek berusia 35 tahun pada Khamis dilakukan selepas mangsa berjaya melarikan diri daripada rumah majikannya itu dan membuat laporan polis pada pukul 5 petang, pada Rabu.
Beliau berkata, pembantu rumah berusia 46 tahun itu mendakwa didera secara fizikal oleh majikannya yang merupakan pasangan suami isteri.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja dengan pasangan tersebut mulai Oktober 2019 serta sering dipukul sejak itu.
"Mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Selayang, Selangor untuk pemeriksaan dan pemerhatian lanjut oleh pegawai perubatan. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Zainal Mohamed berkata, suspek berusia 35 tahun itu ditahan reman sehingga Isnin.
"Pihak polis sedang melengkapkan siasatan bagi kes ini dan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Jabatan Imigresen bagi memastikan siasatan lengkap dari pelbagai sudut bagi tujuan pendakwaan ke atas suspek,” katanya.
Beliau berkata, sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asistan Superintenden Polis, Mohd Reezal Mohammad @ Mohd Zain di talian 03-6126 2222 atau 013-3479809. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram