Hukum ALLAH lebih berkesan berbanding undang-undang lompat parti — PAS


  • Politik
  • Sabtu, 03 Sep 2022

Muhyiddin antara yang hadir ke Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-68 pada Sabtu. — Facebook/ PAS

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa Perlembagaan PAS yang menjadikan hukum ALLAH SWT dan Rasul sebagai sumber tertinggi rujukan lebih berkesan bagi memelihara integriti berbanding undang-undang lompat parti.

Menurutnya, PAS wajar diberikan lebih kepercayaan kerana adanya ikatan baiah yang lebih hebat berbanding undang-undang kini yang luput tarikhnya.

"Pemimpin PAS melafazkan sumpah dan baiah mengatasi segala undang-undang bagi memelihara integriti.

"PAS membuktikan pelaksanaan yang berkesan ini dilaksanakan di negeri-negeri diperintah iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain beberapa kementerian yang ditugaskan walaupun dalam bidang kuasa yang terbatas," katanya dalam ucapan dasar Presiden PAS ketika merasmikan Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-68 di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, Kedah pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tambah Abdul Hadi, kejayaan itu adalah disebabkan parti berpegang kepada kaedah yang ditetapkan oleh ulama.

"Sesiapa yang tidak memelihara integriti pasti akan melompat sendiri kerana mereka kepanasan walaupun berada dalam bilik berhawa dingin, atau dipecat dengan tindakan disiplin. Parti tidak rosak, terus maju dan subur berkembang, sentiasa menambahkan ahli, kawasan, cawangan dan penyokong," ujarnya.

Menurutnya, konsep kepimpinan yang benar-benar berintegriti adalah berasaskan kepada akidah dan takwa dan ia mampu memberikan jaminan kukuh bagi melaksanakan manifesto yang dijanjikan dengan benar.

"Oleh itu, diharamkan perbuatan menipu dan menyeleweng, bukan semata-mata salah dari segi undang-undang, tetapi akan dibawa ke akhirat.

"Disebabkan itu, Islam mewajibkan agar berlaku adil kepada seluruh manusia termasuk musuh. Keadilan yang sebenar akan mewujudkan perpaduan masyarakat majmuk berkonsepkan keadilan dalam kerajaan," katanya.

Abdul Hadi memberitahu, sejarah dunia membuktikan sumber harta dan tenaga manusia yang dibina tanpa pembangunan insan menyeluruh berteraskan akidah dan takwa dalam melahirkan moral yang tinggi, tidak mampu membawa kesejahteraan dunia dan akhirat.

"Akhirnya apa yang berlaku, bantuan kepada rakyat tidak sampai kepada sasaran, ibarat mencurah garam ke laut.

"Mengapa peruntukan yang besar berlaku kebocoran? Ini menunjukkan ada perkara yang salah dan wujud kelemahan," tegasnya.

Menurutnya, kerajaan BN dijatuhkan oleh Pakatan Harapan (PH) disebabkan kelemahan pentadbirannya, diganti dengan kerajaan PH yang disifatkan gagal sejak mengambil alih pemerintahan.

"Kedua-duanya laksana tikus membaiki labu," katanya sinis. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram