SEJAK kebelakangan ini, kes pergaduhan di atas jalan raya akibat tidak berpuas hati sesama pemandu semakin menjadi-jadi dalam negara ini.
Terbaharu tular satu rakaman video di media sosial kelihatan seorang lelaki penunggang motosikal memarahi pemandu kereta jenis Proton X50 selepas dipercayai terlibat dalam satu kemalangan.
Menerusi video berdurasi dua minit 30 saat itu, kelihatan motosikal penunggang tersebut jatuh di tengah jalan raya dipercayai dilanggar dari arah tepi pemandu Proton X50 berkenaan.
Tersentak dengan tindakan kereta tersebut, penunggang itu mengangkat motosikalnya dan memecut laju ke arah pemandu kereta yang memberhentikan kenderaannya di bahu jalan.
Dia kemudiannya bertindak menendang pintu kereta Proton X50 serta memarahi pemandu tersebut sambil diperhatikan orang ramai yang berada di kawasan berkenaan.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Jalan Burma, George Town, Pulau Pinang pada Ahad.
Di ruangan komen pula, rata-rata orang ramai tidak menyalahkan penunggang motosikal tersebut namun mereka marah kerana tindakannya yang keterlaluan dilakukan terhadap pemandu tersebut.
"Kalau aku pun marah tiba-tiba ada orang terlanggar kita dari arah tepi ke apa, tapi kalau kereta itu buat saman sebab rosakkan harta benda dia pasal-pasal kita yang masuk ke dalam penjara," kata Mursyid Razak.
"Daripada tak ada bersalah, terus jadi salah sebab awak pergi tendang pintu kereta orang itu, lain kali sebelum bertindak jangan ikut emosi," jelas Muhd Ismael.
"Betul-betul marah, sampai helmet dia jatuh pun dah tak ambil terus pecut kejar kereta itu," tulis Nurul Ain.
"Memang kita akan marah kalau ada dekat tempat dia, tapi respect juga dengan tindakan pemandu yang berhenti tepi jalan mungkin sebab nak selesaikan apa yang patut," luah Sofia Syazani.
Belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kes itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram