YouTuber jelita 'scam' 6,000 mangsa


  • Benua
  • Khamis, 01 Sep 2022

Nutty menggalakkan pengikutnya mendepositkan wang ke dalam akaunnya dengan menjanjikan pulangan 25 peratus. — Agensi

MAHKAMAH Jenayah di Thailand mengeluarkan waran tangkap terhadap YouTuber terkenal, Nutty Nathamon selepas didapati menipu lebih 6,000 mangsa dalam skim pelaburan tukaran mata wang asing membabitkan kerugian hampir RM244 juta.

Memetik laporan thethaiger.com, Nutty kini dikehendaki dan didakwa atas tuduhan bersubahat untuk menipu orang ramai serta dua pertuduhan lain.

Menurut mahkamah, kes Nutty dikaitkan dengan kes pasangan dari Thailand dan Singapura yang ditahan di Malaysia atas tuduhan penipuan.

Pasangan berkenaan didakwa gagal menghantar barangan mewah yang kebanyakannya merupakan jam tangan mewah bernilai RM8.95 juta kepada pelanggan.

Mahkamah memaklumkan Nutty dari wilayah Pathum Thani, Thailand sudah menukar namanya secara sah sebanyak tiga kali.

“Nama baharu wanita itu adalah Suchata Kongsupachak berbanding dua namanya sebelum ini yang merupakan Leah Kongchak dan Natthamon Kongchak,” jelas mahkamah.

Setakat ini, keberadaan Nutty masih tidak diketahui walaupun dipercayai sudah melarikan diri ke Malaysia.

Menerusi Youtube, Nutty mendakwa dia merupakan seorang peniaga Forex yang berjaya dan menggalakkan 800,000 pengikutnya melabur dalam skim pelaburan itu.

Menurut peguam, Phaisal Ruangrit, seorang pelabur mendepositkan RM2.20 juta terus ke akaun bank Nutty.

“Lima bulan lalu, Nutty menggalakkan pengikutnya mendepositkan wang ke dalam akaunnya dengan menjanjikan pulangan 25 peratus bagi kontrak tiga bulan, pulangan 30 peratus untuk kontrak enam bulan dan 35 peratus bagi kontrak 12 bulan,” jelasnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram