Wajah pucat mulut berdarah, budak 7 tahun mati kena tinggal dalam van sekolah


  • Benua
  • Khamis, 01 Sep 2022

Seorang kanak-kanak tujuh tahun ditemukan mati dalam keadaan menyedihkan di dalam sebuah van sekolah di Thailand pada Rabu. — Agensi

SEORANG murid sekolah tahun dua ditemui mati dalam sebuah van sekolah di Chon Buri, timur Thailand selepas dia ditinggalkan di dalam kenderaan itu sepanjang hari, pada Rabu.

Kanak-kanak tujuh tahun itu ditemukan dalam keadaan menyedihkan yang mana mangsa terbaring di atas lantai van bersebelahan secawan air dan beg sekolah berwarna hitam. Wajah mangsa pula pucat manakala bibirnya berdarah.

Pemandu van itu berkata, dia menjemput sekumpulan murid sekolah termasuk mangsa dikenali sebagai Nong Ji Hoon pada sebelah pagi dan menghantar mereka ke sekolah.

Selepas melihat semua murid sudah keluar dari van, dia meletakkan kenderaan tersebut di tempat letak kereta sekolah. Van itu ditinggalkan di kawasan berkenaan sepanjang hari hingga sesi persekolahan tamat.

Pada pukul 4 petang, dia membuka pintu van dan mendapati Ji Hoon terbaring di atas lantai van. Dia cuba memanggil dan menggerakkan badan mangsa namun tiada respons.

Pemandu van itu kemudian segera memaklumkan kepada pihak sekolah dan mereka mendapati mangsa sudah tidak bernafas, demikian menurut laporan Thaiger.com.

medium_2022-09-01-cc0b74a179

Mangsa ditemukan terbaring di atas lantai van bersebelahan secawan air dan beg sekolah berwarna hitam. — Agensi

Ibu mangsa, Metika Kosonpalangsri, 31, berkata, dia dimaklumkan mengenai kematian Ji Hoon oleh guru sekolah yang datang ke rumahnya bersama pemandu van itu.

Dia menuntut penjelasan daripada pihak sekolah kerana mendakwa ada sesuatu yang cuba disembunyikan.

Wanita itu turut mendedahkan dia dan suaminya membayar sejumlah wang yang banyak untuk yuran tuisyen dan perkhidmatan penghantaran pergi balik sekolah anak tunggal mereka.

Kejadian yang berlaku di sekolah Ploenchit Wittaya di wilayah Chon Buri, timur Thailand itu sudah dilaporkan kepada pihak polis.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Diraja Thailand, Jeneral Domrongsak Kittipraphat berkata, bedah siasat awal mendedahkan bahawa punca kematian Ji Hoon adalah berpunca daripada hipertermia (keadaan badan terlalu panas).

Tiada kesan penderaan fizikal ditemui. Polis turut menahan pemandu van itu serta guru sekolah untuk siasatan lanjut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram