Empat beranak termasuk bayi maut nahas 2 kenderaan di Kota Tinggi


  • 112
  • Selasa, 30 Ogos 2022

Kemalangan yang mengorbankan empat beranak dalam kejadian di Jalan Kampung Semanggar, Kota Tinggi, pada Selasa. — Facebook

EMPAT beranak termasuk kanak-kanak dan bayi maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah lori di Jalan Kampung Semanggar di Kota Tinggi, Johor pada Selasa.

Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Mohamad Suti Yahaya, 39, dan isterinya, Siti Jamaliah Mohd Yatim, 27, serta anak mereka, Nur Firman Hadi Abdul Rahman, 5, dan Nurfatihah Jannah, berusia sembilan bulan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Husin Zamora berkata, kemalangan berlaku pada pukul 1.20 petang melibatkan motosikal Yamaha LC135 ditunggang pasangan suami isteri serta dua anak mereka dengan sebuah lori jenis Hohan.

"Hasil siasatan awal mendapati motosikal dari arah Kota Tinggi ke Kampung Semanggar Dalam dikatakan bertembung dengan lori berkenaan yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Husin berkata, akibat kemalangan itu penunggang dan semua pembonceng motosikal cedera di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, pemandu lori berkenaan yang berusia 31 tahun tidak cedera.

"Semakan mendapati pemandu lori berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan trafik," katanya dan memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram