‘Pak guard’ kejam, belasah dan terajang wanita mengandung


  • Benua
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan mangsa ditampar dan ditendang tanpa belas kasihan oleh pengawal keselamatan terbabit. — Agensi

TINDAKAN seorang pengawal keselamatan lelaki menampar dan menendang seorang wanita mengandung sehingga pengsan di pekarangan sebuah pangsapuri mengundang kemarahan orang ramai.

Insiden yang berlaku di Karachi, Pakistan itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis terbabit.

Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Sana bekerja sebagai pembantu di salah sebuah rumah di pangsapuri berkenaan.

Melalui rakaman tersebut, kelihatan Sana dan pengawal keselamatan berseragam biru itu sedang bergaduh.

Lelaki itu dilihat menampar Sana sehingga terjatuh lalu menendang mangsa di kepala beberapa kali tanpa belas kasihan.

Sana kemudiannya terus membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Menurut Sana, kejadian itu berlaku pada pukul 3 pagi. Ketika kejadian, dia keluar daripada bangunan berkenaan untuk menemui anaknya.

"Semasa saya ingin pulang ke rumah majikan, pengawal tersebut menghalang saya memasuki premis itu.

"Dia menjadi marah bila saya mengajukan soalan dan terus memukul saya sehingga pengsan," katanya.

Kejadian yang menimpa Sana itu turut menarik perhatian Ketua Menteri Sindh, Murad Ali Shah.

Menurut Murad, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pengawal keselamatan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram