Mat rempit tak 'gentleman' ajak pemandu wanita gaduh ketika trafik sesak


  • Benua
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Penunggang motosikal itu tidak berpuas hati dengan pemandu wanita terbabit yang dikatakan telah menghalang laluannya.

TULAR satu video di laman sosial yang memaparkan pergaduhan di antara seorang penunggang motosikal lelaki dan pemandu kereta di sebuah jalan raya.

Melalui video dirakam oleh seorang wanita yang juga pemilik kenderaan menunjukkan lelaki itu memarahi pemandu terbabit.

Kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Pitara, Kecamatan Pancoran Mas, Kota Depok, Indonesia.

Difahamkan lelaki itu tidak berpuas hati dengan wanita tersebut yang dikatakan telah menghalang laluannya.

Ketika kejadian, jalan raya di kawasan tersebut mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk.

Pemandu itu kemudiannya memberi laluan kepada penunggang motosikal itu.

Namun begitu, lelaki itu terus menghentikan motosikalnya dan terus menjerit memarahi pemandu wanita terbabit.

Menurut wanita berkenaan, lelaki yang memakai helmet putih dan jaket hitam itu marah kerana tidak sabar dengan kesesakan lalu lintas.

Lelaki itu turut melakukan provokasi apabila dilihat mengetuk cermin kereta berkali-kali sambil menjerit meminta wanita keluar dari keretanya.

Tidak berpuas hati, dia kemudian dilihat mencabut cermin sisi sebelah penumpang sebelum berlalu pergi.

Wanita itu kemudiannya membuat satu laporan polis kerana risau akan keselamatan dirinya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram