Tak puas hati kena tegur, geng pesilat hitam nekad serang satu kampung


  • Benua
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Tangkap layar seorang pesilat cuba meletuskan provokasi di sebuah kampung di Indonesia.

SEKUMPULAN lelaki berbaju hitam yang mendakwa diri mereka pesilat dilaporkan nekad menyerang sebuah kampung di Jakarta, Indonesia gara-gara tidak berpuas hati selepas ditegur oleh penduduk kampung berkenaan.

Ia disebabkan sekumpulan pesilat terbabit tidak puas hati dengan laporan polis yang dibuat penduduk Kampung Kayu Besar, Jakarta, Indonesia selepas dikatakan terganggu dengan bunyi bising motosikal yang ditunggang sekumpulan pesilat terbabit.

Berdasarkan video berdurasi satu minit itu, seorang lelaki dari kumpulan silat yang berjalan kaki menunjukkan perasaan marah di hadapan pihak polis gara-gara dihalang memasuki laluan kampung tersebut.

Namun, pihak polis yang ditugaskan untuk menjaga laluan masuk kampung tersebut tidak mengendahkan perbuatan individu itu dan mengarahkan supaya lelaki tersebut meneruskan perjalanannya dan meninggalkan kawasan berkenaan.

Selepas lelaki itu dihalang pihak polis daripada memasuki kampung berkenaan, beberapa ahli kumpulan silat lain kemudiannya berhenti di hadapan polis dan ingin meneruskan niat mereka namun usaha itu tetap gagal selepas dihalang pihak berkuasa.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku pada 21 Ogos lepas. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram