Bengang kena potong jalan, pemandu Axia ludah Toyota Wish di KK


  • Tular
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

Suspek bertindak memberhentikan kenderaan dan meludah serta memukul cermin pemandu Toyota Wish berkenaan.

SEJAK kebelakangan ini kes pergaduhan di atas jalan raya akibat tidak berpuas hati sesama pemandu semakin menjadi-jadi dalam negara ini.

Terbaharu tular satu rakaman video dashcam di media sosial kelihatan seorang pemandu kereta jenis Perodua Axia dipercayai meludah tingkap cermin sebuah kereta yang menggunakan jalan raya di arah yang berlawanan.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku kerana timbul rasa tidak puas hati pemandu Axia terbabit yang tidak dapat meneruskan perjalanan apabila kereta jenis Toyota Wish itu memandu laju sekali gus menghalang dia untuk memasuki satu simpang di kawasan berkenaan.

Tersentak dengan kereta yang dipandu laju oleh mangsa, suspek bertindak memberhentikan kenderaan dan meludah serta memukul cermin pemandu kereta berkenaan berkali-kali sambil kelihatan meluahkan rasa ketidakpuasan hati.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Jalan Nosoob, Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat.

Di ruangan komen Facebook pula, rata-rata orang ramai tidak menyalahkan pemandu Axia tersebut namun mereka marah kerana tindakan yang keterlaluan dilakukan oleh suspek berkenaan.

"Memang siapa-siapa pun akan marah, kau nak masuk simpang tiba-tiba ada kereta pecut laju. Tapi dalam hal ludah dan cubaan pecahkan kenderaan orang itu, tak pasal-pasal nanti kau yang kena saman," kata Brother Brown.

"Gilir-gilir lebih baik, dah tahu jalan simpang tiga bertolak ansur sesama sendiri sahaja, tak perlu pun nak timbulkan kekecohan selepas itu menyusahkan orang lain," ujar Tan Theik Chong.

"Daripada tak ada salah, terus jadi salah sebab awak pergi pukul cermin dan ludah kereta itu, lain kali sebelum bertindak jangan ikut emosi," jelas Nabilah Saffiya.

Belum ada sebarang kenyataan pihak berkuasa berhubung kes itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram