TINDAKAN seorang lelaki dipercayai wakil rakyat membelasah seorang wanita di sebuah stesen minyak tular di media sosial hingga mendapat kecaman netizen.
Kejadian bermula apabila wakil rakyat yang menaiki sebuah kereta Honda CRV itu memotong barisan ketika kenderaan lain beratur untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Palembang, Sumatera Selatan, Indonesia.
Bagaimanapun, perakam video yang bersama ibunya dalam sebuah kenderaan tidak memberi laluan kepada pemilik kereta terbabit.
Pemilik kereta yang dikenal pasti sebagai Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Kota Palembang, segera keluar dari kereta tersebut dan mengasari wanita itu.
"Lelaki itu (YB) turun dan menghampiri kereta yang dipandu oleh ibu saya ketika itu.
"Melihat kekecohan itu, saya turun untuk mengambil gambar nombor keretanya. Ketika mahu merakam foto, lelaki yang dipercayai DPRD itu terus memukul perakam.
"Saya mengalami lebam, sakit di lengan, kepala, bibir dan tangan sebelah," katanya memetik laporan Kompas.com.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ilir Barat 1 Palembang, Komisaris Roy Tambunan mengesahkan laporan kejadian itu.
Berdasarkan laporan berita itu, lelaki yang disyaki memukul wanita di stesen minyak berkenaan ialah M Syukri Zen, Ahli DPRD Kota Palembang.
Difahamkan, dia akan dipecat daripada Parti Gerindra yang dianggotainya.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Dewan Pimpinan Cabang (DPC) Parti Gerindra Kota Palembang, Akbar Alfaro. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram