ATM sahkan 2 kereta kebal rosak sampai jalan sesak, jamin insiden tak berulang


  • Primer
  • Sabtu, 27 Ogos 2022

Sebuah kereta kebal rosak di susur Carcosa menghala ke KL Sentral pada pagi Jumaat. — Twitter

TENTERA Darat Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa dua kejadian kerosakan kenderaan Tentera Darat yang terlibat dengan raptai Sambutan Hari Kebangsaan 2022 sehingga menyebabkan kesesakan teruk di ibu negara pada Jumaat.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan kejadian pertama berlaku pada Jumaat melibatkan sebuah kenderaan PT-91M Pendekar yang terlibat dalam acara perbarisan sambutan itu mengalami kerosakan di Jalan Damansara susur keluar Carcosa ke KL Sentral, di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu, PT-91M Pendekar baru sahaja selesai menjalani raptai perbarisan itu dan dalam perjalanan ke tempat parkir Kenderaan Jenis A (KJA) sebelum berhenti secara tiba-tiba akibat masalah enjin yang dihadapi pada 10.30 pagi itu.

"Armoured Recovery Vehicle telah diaturgerakkan memberi bantuan menarik kenderaan itu dan telah berjaya dialihkan ke tempat parkir KJA di Muzium Negara, di sini pada 11 pagi itu untuk kerja-kerja pembaikan.

"Kejadian kedua berlaku pada hari ini iaitu pada 11.26 pagi tadi di Muzium Negara melibatkan sebuah Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai yang dalam perjalanan balik ke Kem Perdana Sungai Besi mengalami masalah enjin tidak dapat dihidupkan,” menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, anggota mekanik diatur gerak ke lokasi dan membuat kerja pembaikan dan kenderaan tersebut siap dibaiki pada 12.30 tengah hari tadi dan meneruskan kembali perjalanan.

"Untuk makluman, sebanyak 129 aset kenderaan tentera darat terlibat dalam perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2022.

"Oleh yang demikian, Tentera Darat memohon maaf susulan dua insiden yang berlaku,” menurut kenyataan itu.

Tentera Darat juga akan memastikan kejadian sedemikian tidak berulang dan jika berlaku, Recovery Team bersama Kembalik (kenderaan trak tunda tentera) yang telah berada di lokasi berhampiran akan bertindak pantas menunda kenderaan tersebut bagi mengelak kesesakan lalu lintas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram