Penyamun 'hoodie' hantui Kota Samarahan, parkir kereta dalam rumah pun tak selamat


  • Tular
  • Jumaat, 26 Ogos 2022

Kejadian pecah masuk sebuah kereta penduduk di Taman Berlian yang tular baru-baru ini.

AKSI perbuatan seorang lelaki menceroboh masuk ke halaman rumah seorang penduduk di Taman Berlian, Kota Samarahan, Sarawak pada awal pagi Khamis berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Video tersebut dimuat naik pemilik rumah berkenaan di akaun Facebook Dayrell Ridge untuk mendedahkan perbuatan suspek menceroboh dan mencuri barangan dalam sebuah kereta.

"Lokasi kecurian di Taman Berlian Stabil, Kota Samarahan.

"Peringatan bersama, sentiasa kunci kenderaan anda," tulisnya.

Kejadian itu berlaku pada pukul 2.47 pagi yang mana dalam video tersebut kelihatan suspek memanjat pagar rumah jiran dan terus menuju ke arah kereta pemilik rumah itu yang diletakkan di kawasan parkir.

Suspek juga tidak memakai selipar ataupun kasut bagi memudahkan pergerakan dan mengelakkan bunyi bising.

Suspek yang memakai 'hoodie' dilihat membuka pintu sebelah pemandu dan terus mencari barang berharga di dalam kereta tersebut.

Difahamkan pemilik kenderaan tersebut tidak mengunci pintu kereta miliknya.

Suspek kemudiannya terus menutup pintu kenderaan tersebut dan memanjat ke rumah sebelah kanan.

Menjengah ke ruangan komen, seorang wanita mendakwa rumahnya pernah mengalami kejadian yang serupa dan kemungkinan dilakukan oleh orang yang sama.

"Macam orang yang sama pernah pecah masuk dalam pagar rumah aku.

"Tapi kawasan Batu 11 Jalan Puncak Borneo.

"Suspek mencuri barang dalam kereta. Lelaki itu tidak memakai kasut atau selipar macam suspek," kata Jue Lie.

Menurut Kenyalang Biru, kejadian tersebut bukanlah kali pertama kali berlaku dan dia turut meminta orang ramai untuk berhati-hati.

"Rasanya sudah tiga kali kes pecah masuk dan cubaan mencuri di kawasan perumahan ini berlaku," tulisnya.

Belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram