Najib ada hak buat rayuan pengampunan diraja — Anwar


  • Politik
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Anwar menegaskan Najib mempunyai hak untuk membuat rayuan mendapatkan pengampunan diraja. — Awani

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak untuk membuat rayuan mendapatkan pengampunan diraja selepas dijatuhkan hukuman kes penyelewengan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Bagaimanapun Anwar berkata, pihak yang mendesak agar Najib diberikan pengampunan itu perlu memahami dan membaca penghakiman yang dibuat oleh mahkamah.

"Itu hak masing-masing (memohon pengampunan diraja), tetapi baca dulu penghakiman. Yang dia marah sangat dengan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali Itu, baca keputusan dia.

"Dia (Najib) tak boleh jawab penghakiman itu maka, dia cuba serang sepertimana yang disebut oleh Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) bahawa kes terlalu terang, baca dululah. Jangan pakai marah saja. Baca dulu berapa juta masuk akaun mana, apabila dah baca dan tahu takkan kita nak pertahankan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas seminar ekonomi bertajuk Pathway To a Better Future For Malaysia pada Khamis.

Dalam pada itu, Anwar turut memberikan peringatan kepada pemimpin yang mengambil rasuah supaya tidak rasa selesa dan selamat daripada disiasat oleh pihak berkuasa.

Ujarnya, terdapat pemimpin yang memang terpalit dengan kes rasuah seolah-olah meraikan tindakan Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman kepada Najib dalam kes itu.

"Kalau kita tengok reaksi kepada keputusan Najib itu, ada pemimpin yang rasuah besar pun kata bagus tindakan itu. Aneh juga sebab rasuah tidak boleh khusus kepada seorang.

"Orang yang ada kekayaan berbilion ringgit itu sepatutnya disiasat. Sebab itu saya ingatkan perasuah besar jangan ingat mereka akan terselamat begitu sahaja. Mereka bercakap seolah-olah tak ada apa yang berlaku," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram