SEBUAH kereta kebal dilaporkan rosak di susur Carcosa menghala ke KL Sentral, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.27 pagi, Jumaat.
Perkara tersebut dirakam melalui televisyen litar tertutup (CCTV) di Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut ciapan KLCCC DBKL di Twitter, kejadian itu menyebabkan lorong jalan tengah tersebut terhalang dan trafik sesak.
"Renjer 01, 02, 05 dan 06 tiba di lokasi kira-kira 10.49 pagi.
"Tidak lama kemudian, kereta kebal itu berjaya ditunda ke lokasi selamat. Kes selesai," kata ciapan tersebut pada Jumaat.
Kereta kebal buatan Poland seberat 45.9 tan itu merupakan antara kenderaan berperisai milik Kor Armor Diraja, Tentera Darat Malaysia.
Rata-rata netizen meninggalkan pelbagai reaksi terhadap berita itu.
"Dalam perjalanan untuk Hari Kebangsaan 2022 agaknya? Ke tersalah pakai 'cheat code' masa main GTA?" tulis WapCar BM.
"Tank yang tak pergi perang pun ada isu," kata RPh Loh Chuan Tuck.
Sementara itu, Muinuddin Dzulkifli berkata, kereta kebal itu jenis PT-91M Pendekar iaitu kereta kebal termoden Malaysia variasi Poland.
"Di tengah pelbagai kontroversi siasatan perolehan Kementerian Pertahanan, kereta kebal ini rosak di tengah jalan menuju Dataran Merdeka menyertai latihan perbarisan. Sekadar menambah kekalutan barangkali," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram