PERBICARAAN kes-kes rasuah yang mengambil masa panjang dikhuathiri akan menyebabkan banyak kes tertangguh, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, kelewatan perbicaraan akan menyebabkan keadilan terabai, sekali gus menyebabkan penjenayah terlepas daripada hukuman.
Dr Mahathir mengambil contoh pertuduhan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil masa selama empat tahun.
Jelasnya, terdapat banyak kes pencurian, salah guna kuasa, rasuah melibatkan tokoh politik tertangguh dan tidak dihadap ke mahkamah.
"Ada penjenayah yang meninggal dunia pun. Kelewatan perbicaraan akan menghasil keadilan terabai.
"Sekarang Najib dibicara berkenaan kes lain yang juga akan mengambil masa yang panjang, dan saya percaya hakim-hakim juga kurang senang dengan begitu banyak kes tertangguh.
"Kelewatan ini menjadi lebih buruk kerana perlakuan Najib dengan peguamnya. Bermacam alasan diguna untuk menghalang perbicaraan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, ketika ini terdapat banyak laporan dibuat berkenaan kes-kes rasuah yang serius dan belum dibicara.
"Besar kemungkinan penjenayah akan terlepas dari dihukum kerana jenayah yang dilakukan oleh mereka.
"Benarlah seperti pepatah Inggeris bahawa keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang terabai.
"Bagi Najib, besar kemungkinan ia akan diampun setelah dipenjara," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram