Najib bersalah


Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. — Astro Awani

MAHKAMAH Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Dalam penghakiman setebal 15 muka surat itu, beliau berkata, susulan keengganan pihak pembelaan untuk memfailkan sebarang hujahan, panel tiada pilihan lain selain memberi fokus kepada 94 alasan rayuan yang difailkan melalui petisyen sebelum ini.

“Pertamanya Mahkamah Rayuan tepat berdasarkan fakta dan undang-undang dalam memutuskan bahawa Hakim Bicara Mahkamah Tinggi tepat dalam menentukan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan.

“Keduanya, Mahkamah Rayuan tepat berdasarkan fakta dan undang-undang dalam memutuskan bahawa Hakim Bicara Mahkamah Tinggi telah melihat kesemua kes pembelaan,” katanya lagi.

Selain Tengku Maimun, panel itu turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Tengku Abang Iskandar Abang Hashim, serta Hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd.

Mengulas lanjut, Tengku Maimun berkata, panel lima hakim mendapati Hakim Bicara telah melakukan analisa terperinci serta berobjektif terhadap kesemua bukti untuk menyokong keputusan beliau pada akhir kes pendakwaan.

“Kami gagal untuk melihat bagaimana dan di mana dapatan Hakim Bicara yang akhirnya membawa kepada keputusan akhir beliau, bahawa kes prima facie wujud, adalah satu kekhilafan.

“Hakim Bicara telah memutuskan dengan tepat kesemua intipati dalam setiap tujuh pertuduhan dipenuhi pada akhir kes pendakwaan. Maka keputusan untuk memanggil perayu membela diri adalah tepat,” katanya lagi.

Selanjutnya Tengku Maimun berkata, panel gagal untuk memutuskan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, seperti yang dikekalkan Mahkamah Rayuan, adalah terkhilaf, sehingga memerlukan campur tangan Mahkamah Persekutuan.

“Kami setuju bahawa hujahan pembelaan tidak konsisten sehingga gagal mewujudkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan,” katanya lagi.

Tengku Maimun berkata panel lima hakim bersetuju sabitan ke atas perayu adalah selamat, dan denda serta hukuman yang dikenakan tidak berlebihan.

Dengan itu beliau berkata, permohonan perayu ditolak sebulat suara, dan sabitan serta hukuman disahkan.— Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram