BN hilang Najib, PH mampu menang PRU15 dengan syarat


  • Politik
  • Rabu, 24 Ogos 2022

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun dan membayar denda RM210 juta.

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan Putrajaya yang mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung SRC International Sdn Bhd, mencetuskan tanda tanya rakyat tentang hala tuju Barisan Nasional (BN) selepas ini.

Bekas Perdana Menteri ke-6 itu didapati bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram, kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan membayar denda RM210 juta.

Antara yang memberi perhatian terhadap perkara itu termasuk penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir.

Memetik laporan FMT, Jeniri Amir menganggap bahawa, sabitan terhadap Najib itu mampu meraih undi simpati daripada penyokongnya untuk Umno dan BN.

"Malah mungkin mereka yang menyokong Umno tetapi tidak menyukai Najib kembali ke parti itu," katanya.

Namun, katanya, Umno dan BN kini berada dalam bahaya selepas ketiadaan pemimpin untuk mengetuai mereka melawan pembangkang.

"Peranan Najib dalam pilihan raya negeri Johor dan Melaka tidak boleh dipandang enteng. Sekiranya BN mahu menang dalam pilihan raya, ia perlu diadakan segera untuk membolehkan mereka meraih undi simpati," katanya.

1648235

Jeniri Amir berkata, pilihan raya perlu diadakan segera bagi mengelakkan lawan BN menarik sentimen daripada menyokong kerajaan Ismail Sabri.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jika pilihan raya tidak diadakan segera, maka ia akan memberi masa kepada lawan BN menarik sentimen daripada menyokong kerajaan pimpinan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Jika pilihan raya ditangguhkan, dan tanpa kekuatan Najib menyokong BN, tidak mustahil PN (Perikatan Nasional) mampu mendapat semula sokongan rakyat," katanya.

Awang-Azman-Awang-Pawi12

Awang berkata, sabitan terhadap Najib mengakibatkan Umno hilang taringnya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis berkata, peluang untuk Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa telah meningkat, susulan Najib mula menjalani hukuman penjara.

Awang Azman Pawi berkata, beliau yakin bekas Perdana Menteri itu menjadi penghalang terbesar terhadap aspirasi PH, apabila bebas menyerang gabungan itu melalui ucapan dan penulisannya.

"Sabitan terhadap Najib mengakibatkan Umno hilang taringnya,” kata sambil menambah kelemahan Umno itu akan memberi tamparan kepada jentera pilihan raya BN.

Beliau berkata, serangan berterusan Najib terhadap PH akhirnya membawa kepada gabungan itu hilang kepercayaan rakyat, malah reputasinya juga masih belum dapat dipulihkan.

Pada masa sama, beliau memuji catatan Najib di dalam talian yang dibuat dengan teliti, selain menganggap tiada pemimpin BN lain dapat menandingi popularitinya di media sosial.

"Dia mempunyai 4.6 juta pengikut dan hantarannya mendapat puluhan ribu ‘like’. Tiada sesiapapun dalam pembangkang mempunyai pengikut seperti itu.

"Dengan Umno kini kehilangan ‘jeneral’ media sosial mereka, PH mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lebih-lebih lagi jika tidak diadakan secepat mungkin memandangkan kehilangan Najib memberi kelebihan kepada PH," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram