
ENAM keluarga di Kampung Padang Durian, Pendang, Kedah dilaporkan menggunakan air perigi yang tidak dirawat untuk kegunaan harian kerana tidak mempunyai bekalan air paip bersih.
Penduduk kampung terbabit, Siti Mariam Omar, 36, berkata, dia tidak dapat membasuh pakaian anak-anaknya kerana air perigi terlampau kotor dan telah menyebabkan pakaian mereka rosak.
Seorang lagi penduduk kampung Ridzuan Morad, 52, mendakwa, pam air yang dibeli dengan harga lebih RM3,000 rosak dan beliau telah melaporkan isu itu kepada pihak berkenaan namun setakat ini tiada sebarang tindakan diambil.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa kerajaan Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu keluarga terbabit.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, keluarga itu terpaksa bertahan menggunakan air yang tidak dirawat walaupun mereka bimbang tentang risiko kesihatan.
Semasa tinjauan baru-baru ini beliau mendapati air perigi yang digunakan penduduk kampung itu keruh dan kekuningan.
Beliau menegaskan bahawa keadaan menjadi lebih teruk apabila hujan kerana air akan dicemari dengan lumpur.
Tambahnya, penduduk kampung telah merayu kepada pihak berkuasa untuk menangani masalah ini supaya kampung lain yang berdekatan juga turut boleh menikmati bekalan air bersih.
“Jika masalah ini berterusan melanda penduduk kampung, kesihatan mereka mungkin terancam.
“Masalah ini perlu ditangani segera oleh kerajaan Kedah dan Sada,” kata Mohideen.
Mengulas kenyataan CAP, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Tenaga, Bekalan Air dan Sumber Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan untuk menangani masalah kekurangan air penduduk sejak tahun lepas.
Beliau berkata permohonan itu kini sedang diproses oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
"Saya sendiri telah bercakap dengan menteri untuk menangani masalah ini," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu berkata, permohonan telah dibuat oleh keluarga berkenaan pada tahun lepas dan kerajaan negeri telah mengambil langkah sewajarnya untuk membantu mereka. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram