Sempat sapa jiran di Parit sebelum ditemukan mati kena tetak, polis Perak tolak motif samun


  • 112
  • Isnin, 22 Ogos 2022

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. — Sinar Harian

SEORANG lelaki ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kampung Merua Batu 3, Jalan Haji Wahab, Parit, Perak pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian melalui Balai Polis Parit pada pukul 11.15 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa ditemui terbaring dengan berlumuran darah oleh penduduk kampung sebelum melaporkannya ke balai polis berdekatan.

"Keadaan mangsa, Norzi Jaafar, 58, itu disedari seorang penduduk kampung kira-kira pukul 10.30 pagi selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri di luar pintu rumah dengan darah di sekeliling badan dan pintu serta lampu terbuka," katanya.

Barudin berkata, pemeriksaan mendapati, terdapat kesan kecederaan di leher mangsa dipercayai kesan libasan senjata tajam.

Menurutnya, mangsa berkemungkinan meninggal dunia lebih dari 15 jam dari tempoh ditemui, berdasarkan keadaan tompokan darah yang telah beku dan bertukar warna.

"Mangsa tinggal seorang diri dan kali terakhir lelaki itu dilihat kira-kira pukul 6.30 petang semalam (Ahad) ketika berdiri di luar rumah. Mangsa ada menyapa penduduk kampung yang melalui jalan ini.

"Selepas itu mangsa tidak kelihatan sehinggalah dijumpai pagi ini oleh seorang penduduk yang datang ke rumah kerana mahu meminjam pam racun," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, tiada sebarang pergelutan atau kesan pecah masuk rumah di tempat kejadian.

Katanya, barang-barang berharga milik mangsa termasuk sejumlah wang tunai yang disimpan dalam dompet juga tidak terusik.

"Jadi buat masa ini, kita menolak andaian bahawa kes ini membabitkan kes samun.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui motif sebenar kejadian termasuk suspek terlibat, senjata digunakan juga masih belum dapat dikesan," katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram