Cemas, letupan gemparkan peniaga, pengunjung Pavilion


  • 112
  • Isnin, 22 Ogos 2022

Beberapa petugas di pusat beli-belah berkenaan memadam api yang tercetus akibat letupan kecil terbabit.

PENGUNJUNG dan peniaga di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur dikejutkan dengan bunyi letupan kecil yang dipercayai berpunca akibat litar pintas.

Bagaimanapun, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan daripada pusat beli-belah berkenaan berhubung kejadian itu.

"Kita sudah menghubungi pihak pengurusan bangunan pusat beli-belah itu dan dimaklumkan kejadian letupan itu membabitkan pendawaian dipercayai akibat litar pintas.

"Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu berjaya dikendalikan oleh pihak pengurusan bangunan,” katanya memetik dari laporan Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.



Video tular rakaman kejadian berkenaan.

Pada Ahad, tular satu video berdurasi dua minit 30 saat menunjukkan berlaku letupan kecil di pusat beli belah itu yang tular di media sosial.

Dikatakan kejadian berkenaan berlaku di belakang pentas acara Kuala Lumpur Fashion Week.

Dalam video berkenaan memaparkan beberapa petugas di pusat beli-belah berkenaan memadam api yang tercetus akibat letupan kecil terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram