Remaja autistik hilang di Johor ditemui di Kelantan jadi mangsa rogol warga asing


  • 112
  • Sabtu, 20 Ogos 2022

Gambar Hiasan. Mangsa dibawa seorang lelaki Rohingya yang dikenalinya menerusi aplikasi WhatsApp.  — Agensi

REMAJA autistik yang hilang sejak Sabtu, 13 Ogos lalu di Kulai, Johor telah ditemui di Tanah Merah, Kelantan selepas lima hari.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Muhammad Zaki Harun berkata, mangsa yang berusia 16 tahun diselamatkan selepas menghantar lokasinya di Kampung Sat melalui telefon bimbit kepada ahli keluarganya.

Katanya, siasatan awal mendapati kehilangan mangsa telah dilaporkan di Kulai, Johor dan tindak diambil berasaskan maklumat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Beliau berkata, mangsa telah diselamatkan oleh pasukan dari IPD Tanah Merah pada pukul 2.30 petang Khamis (18 Ogos 2022).

"Menurut keterangan mangsa, dia dibawa seorang lelaki Rohingya yang dikenalinya menerusi aplikasi WhatsApp menaiki bas dari Skudai, Johor ke Tanah Merah pada 13 Ogos pukul 9.30 malam.

"Mangsa juga memaklumkan sepanjang tanggal 14 Ogos hingga 18 Ogos, dia telah dirogol oleh suspek beberapa kali," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Muhammad Zaki Harun. Agensi

Muhammad Zaki berkata, siasatan mendapati suspek yang dikatakan mengajar al-Quran adalah rakyat Myanmar berumur 23 tahun.

"Pihak polis juga akan membuat semakan mengenai kesahihan suspek sebagai guru yang mengajar Al-Quran.

"Setakat ini, suspek telah ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Kata Muhammad Zaki, susulan laporan kes rogol yang diterima melibatkan mangsa, remaja autistik itu telah dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk pemeriksaan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Remaja, Autistik, rogol,