JAS serbu kilang plastik kitar semula bateri terpakai


  • Primer
  • Jumaat, 19 Ogos 2022

Kilang plastik yang melakukan operasi kitar semula bateri terpakai. — JAS

SEBUAH kilang kitar semula bateri kadmium dan lithium terpakai yang beroperasi secara haram dalam kilang plastik terbongkar apabila diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, pada Khamis.

Serbuan ke atas kilang yang terletak di Ara Kuda, Bukit Mertajam itu dilakukan selepas JAS mendapati, premis tersebut menjalankan aktiviti pengolahan dan pemerolehan kembali bateri kadmium dan lithium terpakai tanpa mendapat lesen terlebih dahulu.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, susulan serbuan itu, pihaknya telah menyita sebanyak 250 bekas yang mengandungi buangan bateri lithium-kadmium terpakai di kilang tersebut.

Selain itu, kilang yang dipercayai milik warga China itu turut dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) diambil bagi menghentikan pencemaran serta-merta dari aktiviti pemanasan serta pembakaran buangan terjadual daripada terus berlaku dan boleh mengakibatkan pencemaran udara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Sharifah Zakiah, siasatan mendapati, bahan buangan itu telah dibawa masuk melalui kargo udara.

"Penggunaan kargo udara ini dipercayai digunakan bagi mengelakkan pemeriksaan ketat kontena melalui jalan laut. Berdasarkan siasatan awal, premis dipercayai dimiliki oleh warga China," jelasnya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut beberapa peruntukan iaitu, Seksyen 18(1) kerana beroperasi tanpa lesen yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 dan/atau dua tahun penjara.

Kes juga disiasat dibawah seksyen 34A(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu menjalankan aktiviti kitar semula buangan terjadual tanpa pengemukaan laporan EIA dan memperolehi kelulusan EIA terlebih dahulu.

Kesalahan dibawah Seksyen 34A, memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan/ atau penjara maksimum lima tahun.

Sharifah Zakiah berkata, premis tersebut juga akan disiasat di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 dan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Tambahnya, sebanyak 93 kompaun dengan nilai keseluruhan RM186,000 juga dikeluarkan kepada premis atas kesalahan menjalankan pemerolehan kembali buangan terjadual bukan di premis yang ditetapkan, di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Pada masa sama, JAS turut mengingatkan bahawa, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan jenayah alam sekitar atau pelanggaran Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram