PENDUDUK Klang, Selangor gempar apabila Sungai Chandong bertukar warna kepada merah jambu pada Rabu lalu berikutan pelepasan bahan yang tidak diketahui.
Dalam satu kenyataan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata pencemaran itu berlaku pada pagi Rabu minggu lalu.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat mengenai kejadian pada sebelah petang hari yang sama.
“Berdasarkan maklumat orang ramai, kami mengesyaki terdapat pelepasan efluen (sisa buangan cecair) dari kawasan perindustrian Pulau Indah.
“LUAS mengenal pasti lokasi pelepasan efluen merah itu adalah dari longkang di hadapan premis di Jalan Sungai Pinang.
“Cecair berwarna merah itu dipercayai dilepaskan ke longkang dan dialirkan ke kawasan tadahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seterusnya memasuki Sungai Chandong,” katanya.
Sampel efluen telah diambil dan dihantar untuk analisis lanjut bagi mengenal pasti punca.
"Jarak longkang tersebut ke lokasi pencemaran adalah sekitar 1.3 kilometer.
"LUAS, bersama-sama agensi lain, akan terus memantau serta memastikan pemeliharaan sumber air Selangor, dan bekerjasama dengan penduduk setempat untuk mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab," tambah Hee.
Tinjauan mendapati pencemaran telah reda dan air sungai Chandong kembali normal. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram