
SEBANYAK 397 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula pukul 10 pagi Khamis.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia susulan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Langat 2 (LRA Langat 2) pada pukul 4.30 pagi tadi.
"Pencemaran itu berikutan insiden pencemaran bahan kimia di Sungai Semantan, Pahang akibat daripada kes kemalangan di Lebuhraya Karak-Bentong KM75.9 menuju Kuala Lumpur pada Rabu," menurut kenyataan itu pada Khamis.
Menurut Air Selangor, LRA Langat 2 dijangka mula beroperasi semula pada pukul 3.30 petang Khamis bagi membolehkan proses rawatan air mentah dimulakan.
"Bekalan air terawat dijangka mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan," katanya.
Menurut kenyataan itu, bantuan alternatif melalui lori tangki akan digerakkan kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal.
"Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimumkan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas," tambahnya.
Senarai penuh kawasan yang terjejas turut dikongsikan Air Selangor di akaun Facebook rasminya.
Masalah yang dialami telah dapat diatasi pada 7.30 malam pada hari sama. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram