Akibat putus cinta, gadis rempuh pagar rumah teman lelaki di Johor Bahru


  • 112
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Keadaan kereta yang dihempap pagar selepas ia dirempuh suspek dalam kejadian pada Ahad. — Facebook/Polis Johor

SEORANG gadis yang kecewa akibat putus cinta naik berang dan bertindak merempuh pintu pagar kediaman keluarga bekas teman lelakinya dalam satu kejadian di Taman Perling, Johor Bahru, Johor pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, suspek merempuh pagar automatik rumah itu hingga tercabut dan menghempap kereta milik bapa bekas teman lelakinya dengan anggaran kerugian kira-kira RM15,000.

Menurutnya, dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, suspek menggunakan kereta jenis Toyota Corollo Altis dan insiden tersebut dapat dirakam televisyen litar tertutup (CCTV).

"Suspek berusia 20 tahun kemudian melarikan diri dengan kereta terbabit. Dia bagaimanapun berjaya ditahan polis tidak lama kemudian di Plaza Tol Lima Kedai, Gelang Patah pada pukul 6.30 pagi, hari sama.

299606815_4785289918239742_3215416474981368500_n

Keadaan pagar automatik yang dirempuh suspek dalam kejadian pada Ahad. — Facebook/Polis Johor

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif penyalahgunaan dadah jenis ‘benzo’, manakala semakan rekod mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Fariz Ammar berkata, sebelum kejadian itu, kakak kepada bekas teman lelaki suspek memaklumkan menerima satu mesej ugutan daripada suspek melalui aplikasi WeChat yang mahu membakar kedai perniagaan motosikal milik keluarga mereka.

“Turut dikirimkan satu video yang memaparkan seseorang sedang mencurah minyak petrol di hadapan kedai berkenaan, bimbang dengan ugutan terbabit menyebabkan pengadu membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seskyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram