Pekerja lebam dipukul majikan guna kayu di Senawang


  • Tular
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Kesan lebam pada badan lelaki tersebut selepas dipukul oleh majikannya.

SEORANG lelaki dipercayai pekerja sebuah kilang dipukul oleh majikannya menggunakan sebatang kayu tular di media sosial pada Ahad dalam kejadian yang berlaku di Senawang, Negeri Sembilan.

Dalam video pertama dan kedua, kelihatan dua lelaki memakai baju putih dengan seorang daripadanya memegang objek dipercayai sebatang kayu.

Lelaki berkenaan dilihat beberapa kali memukul mangsa di bahagian kaki dan badan sebelum pekerja itu dirakam cuba menyelamatkan diri, namun dikejar dan terus dipukul.

Dalam video ketiga menunjukkan seorang lelaki tidak berbaju dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan video pertama serta kedua.

Di ruangan komen Facebook, rata-rata orang ramai memberi pelbagai reaksi tentang kejadian yang berlaku dan ada juga mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap majikannya dengan segera.

"Ada tindakan? Kes bodyguard kena belasah kerana berpuasa itu pun senyap sahaja, nak harap apa?" kata Sirr Khairyll merujuk kepada kes seorang pengawal keselamatan dipukul majikan kerana berpuasa pada tahun lepas.

"Kenapa tak lawan balik, badan boleh tahan muda lagi, yang pukul itu macam dah tua sahaja," jelas Aslin Bin Aslin.

"Pergilah buat laporan polis, jangan biar lama-lama nanti bahan bukti kesan kena pukul itu hilang," ujar Ash Shafiq.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihaknya meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya membuat laporan polis.

"Polis mengesan video kejadian ini sejak petang kelmarin (Sabtu) yang mendakwa seorang pekerja kilang yang dibelasah majikannya sehingga lebam pada badan.

"Jika mana-mana pihak atau individu yang tahu mengenai kejadian, terutama perakam, diminta hadir ke balai polis untuk membuat laporan dan kami akan menjalankan siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Pekerja, dipukul, majikan, cedera, kayu, Senawang, PDRM