PENUNGGANG p-hailing yang menghantar makanan dan barangan tidak akan dipaksa untuk memiliki Lesen Memandu Barangan (GDL) atau lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Beliau berkata, pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk mendapatkan lesen khas bagi p-hailing tidak diperlukan.
"Saya ada lihat beberapa video viral mengaitkan penunggang p-hailing perlu ambil GDL dan membawa kenderaan ke Puspakom. Saya ingin jelaskan maklumat itu tidak betul,” katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan pada Rabu.
Ka Siong berkata, kementerian bercadang membuat pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] antara lain untuk mengawal selia industri p-hailing dan mendaftarkan mereka sebagai pekerja.
"Cadangan lesen tersebut tidak sama seperti lesen GDL yang dikenakan terhadap kenderaan komersial mengangkut barangan. Tujuan lesen ini diperkenalkan adalah untuk mendaftarkan penunggang p-hailing secara rasmi.
"Pendaftaran bagi lesen khas itu dijamin mudah dan murah dengan bayaran minimum di bawah RM10 selain diberi moratorium," katanya.
Beliau berkata, terdapat cadangan untuk melaksanakan moratorium itu bagi tempoh satu tahun ke atas keperluan tersebut.
“Ini semua adalah cadangan dan ia akan diperhalusi melalui beberapa sesi penglibatan bagi Rang Undang-undang (cadangan pindaan).
Beliau juga berkata, terdapat cadangan untuk pemandu p-hailing menjalani kursus induksi pendek untuk lesen itu.
"Ia mungkin hanya tiga jam," katanya sambil menambah bahawa kursus itu juga boleh dilakukan dalam talian.
“Kaedah itu akan dimuktamadkan dan ia tidak akan membebankan,” katanya lagi.
Kementerian Pengankutan bercadang membuat pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] antara lain untuk mengawal selia industri p-hailing dan mendaftarkan mereka sebagai pekerja.
Beliau berkata cadangan pendaftaran penunggang p-hailing itu juga akan memastikan kebajikan mereka terjaga.
“Adalah hasrat kerajaan untuk membantu kumpulan p-hailing, bukan menyusahkan hidup mereka.
"Kalau nak bagi bantuan, dari mana kita boleh dapatkan data pemandu p-hailing? Operator ehailing pun tiada senarai penuh. Dengan sistem ini, kita akan tahu hanya dengan satu klik," katanya.
Sementara itu, Ka Siong berkata, beliau bimbang dengan laporan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) di 11 jalan raya di Kuala Lumpur membabitkan 16,038 penunggang p-hailing.
Laporan itu mendapati 62 peratus penunggang p-hailing berhenti di kotak kuning dan laluan pejalan kaki, menggunakan telefon bimbit semasa menunggang (14%), melanggar lampu merah dan membuat pusingan U haram (7%) dan 3% menunggang melawan arus atau melalui trafik bertentangan.
Majoriti pada Rabu melaporkan penunggang p-hailling dikejutkan dengan peraturan GDL yang bakal diwajibkan selepas kelulusan pindaan tiga undang-undang pengangkutan jalan.
Berita itu nyata memberi kesan dan membebankan semua penunggang khususnya yang bekerja sebagai penghantar makanan kerana perlu menjalani beberapa ujian lisan dan kesihatan selain dikenakan bayaran tertentu.
Tidak terkecuali, penunggang Orang Kurang Upaya (OKU) juga turut berasa kecewa dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengangkutan kerana perlu menjalani ujian kesihatan sebelum lulus. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram