WARGA emas yang dilaporkan hilang sejak Rabu lepas ketika mencari lidi di kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya di Kampung Parit Kasih Sayang Senggarang, di Batu Pahat, Johor ditemukan dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, Painah Siwan, 79, dijumpai penduduk yang turut menyertai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 11.25 pagi pada Isnin.
Menurutnya, warga emas itu ditemukan dalam keadaan lemah berhampiran lopak air dalam lingkungan jarak 900 meter daripada pos kawalan operasi.
"Ketika itu, terdapat bersamanya sepasang selipar dan secekak lidi daun sawit yang sebahagiannya telah diraut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Ismail, warga emas itu dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat dengan menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Pada Rabu, Painah dilaporkan gagal dikesan selepas dikatakan ke kebun kelapa sawit berhampiran rumahnya, kira-kira pukul 3.30 petang Rabu lalu.
Operasi pencarian digerakan melibatkan 187 pegawai dan anggota terdiri daripada polis dan bomba selain Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), APM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta penduduk setempat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram