'Hidup katak! Hidup katak!' kata Syed Saddiq sambil berjoget bersama Namawee


  • Politik
  • Isnin, 15 Ogos 2022

Namawee (kiri) dalam muzik video lagu berjudul 'Katak' yang menampilkan Syed Saddiq.

PENYANYI rap kontroversi, Namewee mengeluarkan video muzik baharu bertajuk ‘Katak’.

Lebih menarik video itu juga menampilkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Muzik video yang dikeluarkan pada 12 Ogos itu menyaksikan Namawee yang juga pengarah filem menyasarkan bait-bait lirik seperti sindiran kepada sikap ahli politik tanah air yang gemar lompat parti.

Antara bait lirik tiga bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil itu ialah “Katak, katak si katak. Dia suka lompat sini lompat sana. Katak-katak kalau nak jadi kaya, mari ikut saya".

Manakala pada penghujung muzik video itu menunjukkan Syed Saddiq memberikan ucapan dalam bahasa Melayu.

“Katak adalah haiwan yang dilindungi di Malaysia. Mereka mempunyai IQ yang sangat tinggi. Sangat pandai melompat. Mempunyai banyak kolagen.

“Dan yang paling penting mereka ini mahal, kaya. Di bawah jagaan negara kita selama bertahun-tahun, katak mengawan tanpa henti. Membiak dengan cepat. Dan bilangannya semakin meningkat.

“Semua orang mesti akui di Malaysia katak adalah khazanah negara kita. Sila ikut saya dengan melaungkan slogan hidup katak! Hidup katak! Hidup katak!” kata Ahli Parlimen Muar itu.

Ini bukan kali pertama Namawee mengkritik budaya politik Malaysia dengan seninya yang mana kali pertama menjadi perhatian umum dengan parodi lagu kebangsaan Malaysia ‘Negarakuku’ pada 2007.

Lagu itu didakwa mempunyai lirik yang mempermainkan Islam dan Melayu.

Filem kontroversinya yang bertajuk Babi pula mendapat dua laporan polis atas dakwaan mempunyai unsur perkauman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram