Bekas pengurus besar Air Kelantan mengaku tak bersalah terima suapan RM10,000


Wan Mohamad Zamri (dua dari kanan) tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Kota Bharu untuk berdepan tuduhan menerima rasuah pada Ahad. — Sinar Harian

BEKAS pengurus besar syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM10,000 daripada sebuah syarikat sub kontraktor pada 2015.

Tertuduh, Wan Mohamad Zamri Wan Ismail, 61, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Wan Mohamad Zamri didakwa menerima rasuah daripada Ng Tse Wei di Maybank, Jalan Mahmood, Kota Bharu, Kelantan pada 22 Januari 2015 melalui cek United Oversea Bank (Malaysia) Bhd bertarikh 21 Januari 2015 yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank Islamic Berhad milik tertuduh.

Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat Zog Technology Sdn Bhd dilantik sebagai sub kontraktor bagi menjalankan kerja membuat reka bentuk, membina, menyiapkan, menguji lari, mentauliah mekanikal dan elektrikal serta kerja-kerja berkaitan (kerja dan reka) untuk Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej 1 Machang.

Wan Mohamad Zamri didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

Dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis berdekatan atau pejabat SPRM pada setiap 1 haribulan.

Wan Mohamad Zamri juga juga diminta sentiasa mengemas kini nombor telefon bimbit dan emel supaya dapat dihubungi pihak berkuasa.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 28 September ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram