SEORANG penduduk sebuah rumah panjang di Sungai Asan Bayu dekat Sibu, Sarawak gempar apabila dimaklumkan oleh pihak bomba bahawa objek yang ditemukan di atas bumbung sebuah bilik di rumah panjang berkenaan mungkin serpihan roket milik China, Long March 5B.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata, objek berukuran 5.8 sentimeter (sm) lebar dan 7.62 sm panjang itu dipercayai terjatuh dan menembusi bumbung zink Rumah Panjang Renyam, Sungai Asan Bayu, sebelum tersangkut pada kayu alang rumah.
Menurut Nicholas, objek tersebut ditemui oleh pemilik rumah berkenaan sejurus dia pulang ke kediamannya pada petang Sabtu.
Katanya, kesan hentaman kuat itu meninggalkan bekas sedalam 2.54 sentimeter serta kebocoran pada bumbung.
"Panggilan penemuan objek tersebut diterima daripada petugas di BBP Sibu kira-kira pukul 8.50 malam selepas menerima panggilan daripada Balai Polis Lanang. Pasukan dari BBP Bintangor digerakkan ke lokasi dan tiba pada pukul 10.38 malam melibatkan jarak 37 kilometer.
"Objek tersebut kemudiannya dibawa oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Balai Polis Lanang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Nicholas berkata, pemilik rumah terbabit memaklumkan objek tersebut kemungkinan berada di bumbung rumahnya sejak beberapa minggu lepas kerana dia serta keluarga jarang balik ke rumah panjang itu disebabkan urusan kerja dan ia hanya disedari selepas ternampak kebocoran pada atap.
Sementara itu, dalam laporan polis di Balai Polis Sungai Merah pada petang Sabtu, pemilik rumah menyatakan jirannya memberitahu terdengar bunyi dentuman kuat dari arah bumbung rumahnya pada 30 Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili ketika dihubungi Bernama berkata, laporan penemuan objek tersebut diterima pada petang Sabtu dan ia akan dihantar ke Jabatan Kimia dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom di Kuching untuk pengesahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram