Tak puas hati caj makanan punca ustaz, pelajar tahfiz diserang di Lipis


  • 112
  • Sabtu, 13 Ogos 2022

Tangkap layar video rakaman insiden seorang ustaz dan pelajar tahfiz diserang tular di media sosial.

VIDEO kes serangan ke atas petugas dan pelajar di sebuah pusat tahfiz, dekat Lipis, Pahang bukan sahaja menjadi bahan kecaman netizen, malah pihak berkuasa turut segera bertindak.

Lantaran itu, dua daripada lima lelaki yang disyaki terlibat dalam serangan tersebut telah ditahan di sekitar Damak Jerantut pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata, dua suspek berusia 30-an itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah, selain ujian saringan air kencing mereka juga didapati positif methamphetamine.

Beliau berkata, kedua-dua mereka telah direman selama empat hari bermula Jumaat, manakala polis telah mengenal pasti identiti tiga lagi suspek yang masih bebas dan usaha mengesan mereka masih giat dilakukan.

"Siasatan awal mendapati, lima suspek berkenaan telah ke pusat tahfiz itu sekitar 5.10 petang semalam (Khamis) dan tiga daripada mereka dipercayai bertindak menyerang seorang petugas tahfiz serta seorang pelajar di situ.

Akibat serangan itu, petugas tahfiz berkenaan yang juga merupakan seorang ustaz telah cedera di sebelah mata kanan dan menerima empat jahitan selain lebam di badan, manakala pelajar tersebut telah mengalami sakit badan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, hasil siasatan awal juga mendapati, kejadian dipercayai berpunca akibat tidak puas hati bayaran makanan yang dikenakan di pusat tahfiz itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 kanun sama kerana menceroboh kawasan.

Sementara itu, Azli merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang membantu untuk mengesan suspek, selain menasihatkan masyarakat supaya tidak menularkan video berkenaan dan membuat spekulasi berhubung kes itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram