BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan apa yang telah terjadi terhadap projek kereta terbang pertama Malaysia ketika Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk kerajaan pada 2018.
Sekitar 2019, media tempatan melaporkan Menteri Pembangunan Usahawan ketika itu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mengumumkan bahawa kerja membina kereta terbang pertama Malaysia itu sudah 85 peratus siap.
Prototaip kereta terbang itu menurut beliau, sedang dibina oleh syarikat Malaysia di Jepun, berikutan kuasa ekonomi itu mempunyai ekosistem sokongan untuk industri kereta terbang.
Bagaimanapun, krisis politik pada 2020 menyebabkan penukaran kerajaan mentadbir sekali gus membuatkan penerusan projek tersebut terbengkalai.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada April 2020 menjelaskan kepada media tempatan bahawa projek tersebut masih belum boleh diteruskan.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan sama ada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu membuat siasatan berhubung perkara itu atau tidak.
"Projek Kereta Terbang Nasional Kebanggaan Kerajaan PH. Siapa tempah? Salesman kata bila delivery date (tarikh penghantaran)?
"Ini tidak mahu buat siasatan PAC juga ke," katanya di Facebook pada Sabtu.
Najib turut memuat naik dua keratan akhbar tempatan yang melaporkan mengenai perkembangan kereta terbang tersebut bersama kenyataannya.
Di bahagian komen, pelbagai pendapat dikongsi netizen berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri tersebut.
Ilham Abd Hapid berkata, "Wow rasa bangganya siap hampir 85%. Semoga Tun M diberi umur panjang dan sentiasa sihat agar tercapai hajat orang pertama memandu kereta terbang kebanggaan negara.
"Desak kerajaan umumkan berapa kos dah habis untuk projek kereta terbang?" kata Mohammad Fazil Ahmad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram