MINAT terhadap sukan pemotoran bukanlah sesuatu perkara yang buruk sekiranya dapat dibimbing dan dipupuk menerusi saluran yang betul.
Bagaimanapun, kebanyakan anak-anak muda di Malaysia tidak memiliki akses kepada saluran- saluran tersebut sekali gus menjadikan mereka mudah terjebak dengan aktiviti lumba haram.
Bagi menangani masalah tersebut, kerajaan bercadang untuk membina sebuah litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri dalam usaha memperkasakan program pembangunan sukan permotoran dalam negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan itu akan dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang Oktober ini.
"Setakat ini sudah ada dua litar drag yang dibina iaitu di Terengganu dan Melaka. Apabila litar tersebut siap kelak, sudah tentu memberi peluang kepada golongan belia membabitkan diri dengan lebih serius dalam sukan permotoran mengikut saluran yang betul,"katanya.
Ismail Sabri ditemu media selepas merasmikan Program RXZ Members 4.0 Tahun 2022 di Terengganu International Drag Strip di Gong Badak di Kuala Nerus, Terengganu pada Sabtu.
Lebih 30,000 pemilik dan peminat Yamaha RXZ dari seluruh negara menyertai perhimpunan dua hari itu.
Ismail Sabri berkata, beliau kagum melihat sokongan dan penyertaan luar biasa anak-anak muda pada perhimpunan tersebut selepas kali terakhir pada 2019.
Beliau juga menyeru golongan muda supaya menyertai MyFit@Motorsports 2022 iaitu program pembangunan permotoran peringkat akar umbi, melibatkan pembangunan sukan motosikal dan kereta yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada penganjur, Kelab RXZ Members Official Malaysia kerana menghimpunkan ribuan pemilik motosikal RXZ dari seluruh negara,” ujarnya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram