Johor dilanda ribut, penduduk cemas atap flat tercabut, pokok tumbang


  • Tular
  • Jumaat, 12 Ogos 2022

tangakap layar yang menunjukkan atap rumah flat yang tercabut diterbangkan angin.

HUJAN lebat serta angin kencang telah mengakibatkan atap bangunan rumah pangsa tercabut.

Kejadian yang berlaku di Jalan Rosmerah, Taman Johor Jaya, Johor itu susulan hujan lebat berterusan sejak tengah hari, Jumaat.

Melalui video tular yang dikongsikan Community Roda Johor - CRJ di Facebook, beberapa rumah di kawasan tersebut rosak teruk.

"Mohon kerjasama, bantuan dan tindakan dari semua pihak yang berkenaan. Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Datuk Onn Hafiz," tulisnya merujuk Menteri Besar Johor itu.

Turut kelihatan, sebuah siling rumah berlubang dan air mula membanjiri ruang tamu kediaman tersebut.

"Rumah atas semua habis," kata perakam video tersebut.

Turut tular video yang menunjukkan kawasan flat tersebut dibanjiri dengan kayu dan atap rumah flat yang diterbangkan angin.

Menurut seorang warganet Nahzatul Aini Salleh, kawasannya juga mengalami nasib yang sama.

"Rumah mak saya pun atap tercabut tadi masa tidur dengan cucu. Kesian," tulisnya.

"Banyak jugak rumah yang kena. Innalillahiwainnailaihirojiun, semoga dipermudahkan segala urusan," doa Adila Ali.

Pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengambil maklum dengan kejadian tersebut dan telah menggerakkan anggotanya untuk mengambil tindakan serta memberi bantuan kepada penduduk di kawasan yang terlibat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram