Samseng 'H' tayang pasport, 'lesen' potong barisan di Linkedua


  • Tular
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Seorang pemandu Honda Accord didapati cuba memotong barisan ketika beratur di Linkedua, Malaysia–Singapura menghala ke Johor Bahru, Johor.

SEBAGAI rakyat Malaysia kita pasti berbangga apabila mengetahui pasport di negara ini antara 10 pasport paling berkuasa di dunia dan hal membenarkan rakyat Malaysia pergi ke mana sahaja pelusuk dunia sehingga 180 negara.

Kita mungkin menerimanya sebagai ilmu pengetahuan sahaja tetapi seorang pemandu didapati mengambil serius ayat "paling berkuasa" selepas dirakam menayangkan pasport Malaysia ketika cuba memotong barisan kenderaan.

Dalam satu hantaran video Facebook oleh Joanna Loh, seorang pemandu Honda Accord didapati cuba memotong barisan ketika beratur di Linkedua, Malaysia–Singapura menghala ke Johor Bahru, Johor pada Sabtu.

“Dia mahu memotong barisan di hadapan kami dan dia tidak memberikan lampu signal untuk memotong. Kalau ikutkan, kami tidak perlu memberi laluan pun. Tetapi jika dia sopan, sudah pasti kami akan berikan laluan kepadanya,” tulis wanita itu di Facebook.

Pemandu tersebut dilihat cuba memotong dengan cara yang agresif malah turut menayangkan pasport kepada kenderaan perakam sambil menunjukkan isyarat tangan seolah-olah tidak berpuas hati.

Susulan kejadian itu, pemandu Honda terbabit keluar daripada keretanya dan menunjukkan ke arah nombor pendaftaran sambil memegang telefon dan pada masa sama Joanna turut menunjukkan pasport Malaysia yang dimilikinya.

Perkongsian video itu mengundang rasa tidak puas hati orang ramai kerana tindakan pemandu Honda itu secara tidak langsung memalukan nama negara hanya kerana tidak sabar mahu memotong barisan.

"Apa benda yang kau nak tunjuk sebenarnya? Memalukan negara betul, tunjuk pasport Malaysia sebab nak menandakan yang ini negara kau so semua benda boleh buat ikut suka hati dia," ujar Mohd Nidzam.

"Trafik di Singapura agak sibuk sebab banyak kenderaan keluar-masuk negara bersempana Hari Kebangsaan Singapura, jadi kau tolonglah bertimbang rasa sikit," kata Harith Shafee.

"Dia tunjuk pasport maksudnya, saya bukan Singapura dan ini negara saya jadi tolong hormat sikit," jelas Nava Sakthi.

Hantaran tersebut menerima ribuan tontonan dan perkongsian, namun masih belum ada kenyataan pihak berkuasa berhubung iniden itu setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram