Pencuri bogel rupanya TikTokers terkenal, pernah viral angkara pamer barang curi


  • Benua
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Rakaman CCTV menunjukkan aksi seorang pencuri berbogel di kedai pajak gadai Teuku Umar, Denpasar. — Agensi

SEORANG lelaki yang dirakam mencuri dalam keadaan berbogel dalam satu kejadian di sebuah premis pajak gadai, dikenal pasti sebagai seorang TikTokers Indonesia terkenal.

Kejadian yang berlaku di Rumah Pajak Gadai Teuku Umar Denpasar, Bali, Indonesia itu dapat dirakam televisyen litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Denpasar Barat Kompol I, Made Hendra Agustina berkata, suspek yang berusia 27 tahun itu dikenali sebagai TG dan dikenal pasti daripada tatu di badannya.

"Dari rakaman CCTV, kami mendapat petunjuk bahawa suspek mempunyai tatu motif tertentu di tangan kanannya," katanya seperti dipetik iNews.com pada Selasa.

Berdasarkan petunjuk itu, polis menjalankan pencarian dan siasatan sebelum membuat penahanan terhadap suspek.

pencuri_bugil_tiktokers

Polis berkata, suspek pernah menjadi tular kerana menunjukkan barangan yang dicuri di media sosial. — Agensi

"Ternyata memang ada seseorang yang mempunyai tatu hampir 100 peratus serupa dengan yang dirakam di CCTV.

"Polis kemudian memeriksa media sosial TikTok miliknya dan didapati tatu tersebut 100 peratus sama. Suspek sangat aktif di media sosial terutama di TikTok dan memiliki 1 juta pengikut di laman sosial tersebut.

"Pemuda dari Manado itu pernah mencuri di Sumatera Utara dan Ubud, Gianyar. Bahkan suspek pernah menjadi tular kerana menunjukkan barangan yang dicuri di media sosial," katanya.

Berhubung perbuatannya yang berbogel ketika mencuri, Made Hendra berkata, suspek mengaku bertelanjang bagi memudahkannya untuk memasuki bilik simpanan utama.

“Memang ketika itu saya tidak boleh masuk, saya terpaksa menanggalkan baju dan seluar untuk masuk ke dalam,” kata suspek.

Polis yang menahan TG juga terpaksa melepaskan tembakan di kaki kanan kerana dia cuba melarikan diri ketika ditahan.

Dia boleh didakwa di bawah Perkara 363 Kanun Jenayah yang memperuntukkan penjara lima tahun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram