Pelajar SMK Melor cedera dihempap tangki air pecah


  • Primer
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Tangki air yang pecah itu menimpa laluan pejalan kaki di sekolah berkenaan menyebabkan pelajarnya mengalami kecederaan. — Facebook/Mohd Radzi

BEBERAPA pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, Ketereh di Kota Bharu, Kelantan dipercayai mengalami kecederaan selepas tangki air di sekolah berkenaan pecah pada Selasa.

Kejadian itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menerusi satu hantaran Facebook yang dimuat naik selepas selesai sesi menjawab pertanyaan lisan di Dewan Negara.

Mohd Radzi berkata, tangki air yang pecah itu menimpa laluan pejalan kaki di sekolah berkenaan menyebabkan pelajarnya mengalami kecederaan.

"Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Saya telah mengarahkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan melaksana kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan tangki air di sekolah tersebut dalam kadar segera," katanya.

Menurutnya, hal ini bagi memastikan fasiliti dan infrastruktur sekolah berkenaan sentiasa berada dalam baik dan selamat untuk kegunaan warga sekolah.

Beliau berkata, semua pihak dimohon untuk menitipkan doa agar semua mereka yang terlibat dalam insiden itu diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram