Dah 2022, masih ada yang selamba cop parkir di pusat beli-belah


  • Tular
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Tindakan seorang wanita bertindak berdiri di parkir tersebut dikecam orang ramai.

WALAUPUN Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkali-kali mengingatkan orang ramai supaya tidak menanda (cop) parkir di kawasan awam, perkara itu masih berlaku dalam kalangan masyarakat.

Terbaharu, satu video tular pada Isnin menunjukkan kejadian menanda parkir meilbatkan seorang wanita di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara.

Menerusi video tersebut, seorang pemandu kereta dilihat mahu meletakkan kenderaannya di kawasan parkir yang dikosongkan oleh sebuah kereta lain.

Namun, seorang wanita bertindak berdiri di parkir tersebut dan enggan berganjak menyebabkan pemandu terbabit tidak dapat memarkir keretanya dalam petak kosong itu.

Video berkenaan dirakam dan dikongsikan oleh individu yang berada dalam kenderaan tersebut.

Menurut kapsyen wanita yang memuat naik video itu di TikTok, kejadian dikatakan berlaku di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

"Kejadian cop parking dekat Mid Valley, orang penat pusing cari parking, dia boleh main-main cop parking, tolong viralkan ye," tulis wanita itu.

Susulan perkongsian itu, video tersebut mendapat pelbagai reaksi di ruangan komen kerana berasa kurang senang selepas melihat tindakan pentingkan diri dan kurang sensitif di kawasan awam.

"Kalau saya masuk sahaja, dia boleh buat apa kan, lepas itu ambil gambar dia siap-siapa mana tahu berlaku sesuatu pada kereta," ujar @TehHalia_MangkokBesau.

"Ayah aku hari itu dia main masuk sahaja terus lari perempuan yang cop parking itu," kata @Call me Akmal.

"Kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana petak parkir itu adalah hak milik awam, maka mana-mana individu tiada hak untuk mendesak atau menghalang individu lain daripada menggunakan petak parkir itu," jelas @Eydalarh.

"Ada dashcam tak, ambil dari mula sampai habis simpan selepas itu boleh pergi buat report, ada akta cop parking ini boleh dikenakan denda," kata @Uhans77.

Untuk makluman, budaya 'cop' parking ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana petak parkir itu adalah hak milik awam, maka mana-mana individu tiada hak untuk mendesak atau menghalang individu lain daripada menggunakan petak parkir itu.

Individu yang sengaja 'cop' parking ini boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan; dan sekiranya kesalahan berulang kali kedua atau lebih, individu itu boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara tidak lebih dua belas bulan, atau kedua-duanya; seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram