TIDAK bermoral, itu antara komen yang dilontarkan oleh segelintir warganet Indonesia selepas melihat video seorang lelaki membuang air besar di tempat wuduk masjid di daerah Jember, Jawa Timur, Indonesia.
Perbuatan pemuda berkenaan berjaya dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) sehingga tular di media sosial.
Berbekalkan CCTV, polis kini sedang memburu pelaku kerana tindakannya itu telah mengganggu penduduk dan mencemarkan masjid.
Rakaman video lelaki itu buang air besar di tempat wudhu.
Rakaman kamera pengawasan menunjukkan seorang pemuda memasuki tempat wuduk Masjid Nurul Amin, Kecamatan Ambulu, Jember.
Tidak lama kemudian, pemuda itu membuang air besar di kawasan wuduk.
Perbuatan tidak senonoh itu berlaku pada Ahad lalu dan diketahui oleh pihak masjid ketika hendak membersihkan tempat wuduk pada waktu subuh.
Ironinya perkara ini bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini terdapat juga laporan beberapa individu yang melakukan perkara tidak bermoral itu.
Memetik laporan dari portal, KompasTV, pentadbir masjid terpaksa memuat naik video itu ke media sosial supaya suspek ditangkap dan tidak mengulangi perbuatan mereka lagi.
Pihak polis menerima laporan pihak masjid dan berjanji akan memburu pelaku kerana perbuatannya itu mengganggu keselesaan penduduk.
Polis merayu orang ramai supaya menghormati tempat ibadat dan tidak membuang air besar secara terbuka kerana boleh mencemarkan tempat suci itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram