Libas ‘guard’ guna pedang sampai mati, tertuduh hanya angguk faham


Subramaniam dihadapkan semula ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Isnin atas tuduhan membunuh. — Sinar Harian

SUSPEK kes pengawal keselamatan yang dilibas pedang hingga maut dihadapkan ke di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, Kedah pada Isnin atas tuduhan membunuh.

Sebelum ini, suspek menghadapi pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa pada Ahad.

Ia berikutan mangsa Ismail Ahmad, 58, yang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani akibat kecederaan ditetak dan dipukul pada Khamis, meninggal dunia pada jam kira-kira pukul 6 petang Ahad.

Mengikut pertuduhan, R Subramaniam, 41, didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Isnin, dengan sengaja menyebabkan kematian terhadap Ismail.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan pos pengawal tapak projek perumahan Sierra 4 Bukit Banyan, Sungai Petani pada pukul 4.40 petang 4 Ogos lalu.

Disebabkan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit bersalah.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Fazlina Musa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Arthini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula, sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Media sebelum ini melaporkan, Subramaniam mengaku salah atas pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap Ismail mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram