'Pak guard' mangsa tetak sekumpulan lelaki di Sungai Petani meninggal dunia


  • Massa
  • Ahad, 07 Ogos 2022

Ismail menghembuskan nafas terakhir pada 5.51 petang Ahad. — Media Sosial

SELEPAS beberapa hari bertarung nyawa, pengawal keselamatan yang menjadi mangsa tetak sekumpulan lelaki di Sungai Petani, Kedah meninggal dunia pada Ahad.

Menurut perkongsian Sungai Dua Kesayanganku, doktor mengesahkan Ismail Ahmad, 58, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 5.51 petang.

"Doakan supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat dan dipermudahkan segala urusan jenazah," tulis laman tersebut.

Dalam kejadian Khamis lalu, Ismail cedera di kepala dan tangan kiri, selepas ditetak menggunakan pedang oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana ditegur mangsa ketika dia menunggang motosikal.

Mangsa dikatakan menegur perbuatan lelaki terbabit yang ketika itu dilihat menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan Tapak Projek Perumahan Siera 4, Bukit Bayan, Sungai Petani sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Lelaki terbabit beredar sebelum datang semula bersama dua lagi rakan dan menetak menggunakan sebilah pedang terhadap mangsa, sehingga pengawal keselamatan terbabit terpaksa dikejarkan ke hospital.

Media pada Ahad melaporkan, tertuduh, R Subramaniam, 41, ketika dibicarakan Mahkamah Sesyen Sungai Petani mengaku bersalah mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pedang terhadap mangsa.

Mengikut pertuduhan, Subramaniam didakwa dengan niat menyebabkan cedera parah terhadap Ismail menggunakan sebilah pedang di pos pengawal Tapak Projek Perumahan Siera 4 pada pukul 4.40 petang 4 Ogos lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

29 Ogos depan merupakan tarikh jatuh hukum kerana masih belum memperoleh laporan perubatan penuh mangsa.

Mahkamah turut membenarkan Subramaniam diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan dengan mengarahkan tertuduh melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sehingga kesnya selesai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram