DUA pemandu treler cedera selepas kenderaan dipandu mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 43.3 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak hala timur pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan mangsa berusia 24 dan 30 tahun.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati treler yang membawa muatan besi buruk dipandu lelaki berusia 24 tahun dari Pelabuhan Klang menghala ke Kuantan.
"Treler tersebut hilang kawalan, terbabas dan terbalik berpunca dari hujan menyebabkan jalan licin serta basah.
"Selang beberapa minit kemudian, datang sebuah treler membawa muatan kayu bergergaji cuba mengelak ke kiri jalan menyebabkan kenderaan yang dipandu lelaki berusia 30 tahun itu hilang kawalan dan terlanggar batu penghadang jalan lalu terbalik masuk ke dalam gaung," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Treler yang membawa muatan besi buruk terbalik di KM43.3 di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Jumaat lalu. — Ihsan PDRM
Rakaman kejadian itu juga turut tular di media sosial melalui TikTok akaun milik @Eynaredho.
Mohd Zaiham berkata, akibat kemalangan tersebut pemandu treler besi buruk mengalami kecederaan di belakang badan, tangan kiri dan kaki kanan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan.
"Pemandu treler kayu tersebut pula mengalami kecederaan patah kaki dan tangan kanan serta bahu kiri serta mendapat rawatan di sebuah hospital swasta.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, beliau juga memberitahu, sebanyak 224 kes kemalangan dicatatkan melibatkan pelbagai jenis kenderaan sepanjang Januari hingga Julai tahun ini di KM40-50 di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
"Kereta mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 164 kes diikuti lori (24), lain-lain (22) dan motosikal (14)," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram