POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang memecahkan cermin kereta dan mengugut seorang pemandu wanita dalam kejadian di Simpang Empat Limbat, Kota Bharu, Kelantan, Khamis lepas.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, insiden itu berlaku pada 5.45 petang ketika mangsa berusia 35 tahun sedang memandu sebuah kereta Perodua Axia berseorangan.
"Mengikut keterangan mangsa semasa dia sedang memandu berseorangan, kenderaannya telah dihimpit sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu suspek.
"Suspek kemudian secara tiba-tiba telah menghalang laluan dan berhenti di tengah jalan sebelum menghampiri kenderaan mangsa lalu memecahkan cermin kereta (bahagian pemandu) serta mengugut mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Muhamad Zaki berkata, pihaknya telah mengenal pasti lelaki itu yang berusia 40an dan membuat serbuan ke sebuah rumah di Nilam Puri, dekat Kota Bharu, namun dia menghilangkan diri.
Katanya, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan digerakkan bagi mengesan dan memburu suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 279 KK dan Seksyen 427 KK.
"Bagi Seksyen 506 KK, suspek boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali atas kesalahan mendatangkan ugutan jenayah,” katanya.
Terdahulu, dua rakaman video kejadian itu, masing-masing berdurasi dua minit 16 saat dan 36 saat, tular di media sosial sejak Jumaat. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram