Rampasan dadah RM2 juta di Ipoh, polis tahan pasangan suami isteri


  • 112
  • Isnin, 25 Jul 2022

Datuk Mior Faridalathrash Wahid, menunjukkan lebih 20 kilogram dadah jenis methamphetamine bernilai RM2 juta. — Bernama

POLIS menahan pasangan suami isteri dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya Ipoh, Perak kerana disyaki terlibat dengan aktiviti mengedar dadah dan merampas dadah bernilai RM2 juta pada Khamis lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 34 tahun itu di sebuah pusat makanan di Jalan Raja Musa Mahadi, Ipoh, Perak manakala wanita warga Vietnam berusia 38 tahun itu ditahan di tepi jalan sekitar Panorama Lapangan Perdana, Ipoh, Perak pada pukul 4.40 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dipandu suspek lelaki menemukan 10 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine.

"Pemeriksaan susulan dilakukan di sebuah kereta di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di sekitar Ipoh dan menjumpai 10 bungkusan plastik disyaki dadah jenis sama.

"Polis turut menyita seutas jam tangan berjenama, rantai kaki, sebentuk cincin serta seutas rantai tangan manik. Anggaran jumlah keseluruhan harta yang disita bernilai RM83,315," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada Isnin.

Mior Faridalathrash berkata, ujian air kencing ke atas suspek lelaki yang bekerja di kedai cermin dan aluminium, didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita yang tidak bekerja itu didapati negatif dadah serta kedua-duanya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 200,000 penagih dan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang aktif mengedar sejak tiga bulan lepas direman seminggu sejak Jumaat lepas sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara masyarakat dengan agensi penguat kuasa dan polis akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah dari semasa ke semasa," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Polis, Ipoh, Perak, Merampas, Dadah, Pasangan