Kibar Jalur Gemilang demi semarakkan Hari Kebangsaan


  • Primer
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Para peserta 'Berjalan Teguh Bersama' mengibar Jalur Gemilang sebelum berjalan sejauh 2.7 kilometer dari Dataran Putra ke Istana Kehakiman. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru rakyat Malaysia menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini dengan mewarnai dan menghiasi premis dengan Jalur Gemilang bagi mencerminkan rasa cinta kepada tanah air.

Menurutnya, selain mengibar bendera kebanggaan negara, cara lain untuk membuktikan cinta kepada Malaysia ada dengan mengamalkan nilai murni dalam diri, bekerjasama dan mengamalkan toleransi.

Selain itu, rasa cinta juga boleh ditunjukkan dengan mendukung segala inisiatif kerajaan dan mengelak daripada menyebarkan berita tidak sahih.

"Gejala menyebarkan berita palsu atau berita tidak benar terutamanya menerusi media sosial harus dikawal dan dibendung sebelum ia menjadi satu amalan yang boleh memporak-porandakan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Gunakanlah sosial media secara berhemah untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan ucapan-ucapan murni kepada rakan taulan, majikan dan keluarga sendiri," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Putrajaya pada Sabtu.

Tambah Perdana Menteri, sambutan Hari Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang diadakan bagi memperingati perjuangan kebebasan dikecapi Keluarga Malaysia dalam mengurus pentadbiran negara sendiri selepas dijajah oleh kuasa asing.

"Walaupun tidak lagi dibelenggu penjajah, namun Keluarga Malaysia sentiasa berdepan dengan cabaran yang datang dari luar yang boleh menggugat keharmonian yang terjalin selama ini.

"Setelah kita berjuang memerangi Pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas, negara kini dalam Fasa Peralihan ke Endemik dan Keluarga Malaysia mula menikmati kesejahteraan hidup seperti sebelum pandemik melanda dunia," ujarnya.

Program Berjalan Teguh Bersama bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 pada pagi Sabtu di Putrajaya berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik, meriah dan warna-warni.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa (MenKOMM) bersama Jemaah Menteri turut menyertai lebih 15,000 peserta program berjalan secara santai sejauh 2.7 kilometer itu.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Putrajaya merupakan acara pertama bagi sambutan Hari Malaysia dengan selepas ini disusuli Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Melaka. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram