Malaysia isytihar kecemasan kesihatan, individu bergejala cacar monyet segera dapatkan rawatan


  • Primer
  • Isnin, 25 Jul 2022

Individu yang mempunyai gejala cacar monyet digesa segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. — Agensi

INDIVIDU yang mempunyai gejala cacar monyet digesa segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, gesaan itu dibuat susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan cacar monyet yang berlaku pada masa ini adalah sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).

"Gejala cacar monyet adalah demam, keletihan, sakit kepala dan ruam makulapapular yang bermula di muka sebelum menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sekiranya mengalami gejala berkenaan, individu tersebut perlu elak daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan.

"Bagi pengendali premis-premis yang menyediakan perkhidmatan yang melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain aktiviti berisiko dimohon untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.

"Mereka juga perlu memastikan pelanggan sihat tidak mengalami gejala cacar monyet dan tiada ruam makulapapular," katanya.

Khairy berkata, sekiranya terdapat pelanggan yang mempunyai gejala tersebut, nasihatkan mereka untuk segera mendapatkan rawatan.

"Pekerja bergejala dinasihatkan untuk tidak hadir bertugas dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan," katanya.

Ujarnya, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk hospital dan klinik swasta dalam pemantauan serta pengesanan kes cacar monyet.

"Sehingga 23 Julai 2022, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM dan kesemuanya disahkan negatif," katanya.

Menurutnya, virus cacar monyet boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping ataupun cairan daripada lesi tersebut.

Tegas Khairy, kes cacar monyet boleh menularkan jangkitan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum terjadinya lesi pada kulit.

Transmisi virus juga boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti sama ada dengan cara digigit atau dicakar oleh haiwan terbabit, atau dengan cara memakan ataupun menggunakan hasil produk haiwan berkenaan.

"Sentuhan dengan peralatan yang tercemar dengan lesi kulit ataupun cairannya juga boleh menyebabkan jangkitan," katanya.

Tegas Khairy, kes cacar monyet boleh menularkan jangkitan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum terjadinya lesi pada kulit sehingga 21 hari daripada bermulanya gejala atau sehingga lesi pada kulit menjadi kuping dan pesakit tidak lagi bergejala.

"Kes jangkitan cacar monyet boleh pulih tanpa sebarang rawatan," katanya.

Sejak 1 Mei sehingga 23 Julai, seramai 531,630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert Monkeypox kepada mereka.

Semua pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan cacar monyet akan menerima pop-up mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan cacar monyet dan status kesihatan.

Pengembara-pengembara yang tiba dari negara-negara terbabit, dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan cacar monyet untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

Pada 17 Jun, sebanyak 2,103 kes cacar monyet dilaporkan berlaku di 42 buah negara dengan satu kematian.

Dalam tempoh kurang daripada dua bulan, bilangan kes telah meningkat kepada 16,836 kes dengan lima kematian dan melibatkan 74 buah negara pada 22 Julai.

Kadar fataliti kes cacar monyet adalah 0.03 peratus.

Kes cacar monyet pertama kali dilaporkan oleh WHO pada 15 Mei dan berlaku di beberapa buah negara yang bukan endemik penyakit ini.

Berdasarkan laporan Second Meeting of the International Health Regulation (2005) (IHR) Emergency Committee Regarding the MultiCountry Outbreak of Monkeypox yang diterbitkan oleh WHO pada 23 Julai, penularan virus cacar monyet pada ketika ini dilaporkan berlaku dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki (MSM) atau individu dengan risiko tinggi jangkitan seperti pekerja seks dan transgender.

Namun demikian, penyakit ini bukanlah penyakit bagi kumpulan ini secara ekslusif kerana ia boleh juga menjangkiti ahli keluarga melalui sentuhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram