Penduduk minta DBKL naik taraf papan tanda di Jalan Kepong


  • Massa
  • Isnin, 25 Jul 2022

Pengguna jalan raya yang menggunakan laluan itu tidak peka kerana kekurangan papan tanda. — The Star

TERDAPAT desakan pengguna jalan raya tentang pemasangan penanda arah dan papan tanda jalan di sepanjang Jalan Kepong, Kuala Lumpur, berikutan pembukaan jalan pintasan baharu di laluan tersebut.

Seorang penunggang motosikal berkata, persimpangan antara Jalan Kepong dan Jalan 2/17 amat berbahaya kerana pengguna jalan raya mungkin tidak sedar adanya simpang baharu itu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Pusat Kepong, Tay Thiam Seng berkata, terdapat ramai pemandu memandu dari arah Kuala Lumpur melalui Jalan Kepong menggunakan Jalan 2/17 kerana ia menghubungkan pengguna ke Taman Fadason dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

"Apabila jalan penghubung ini dibuka, pihak berkuasa tidak memasang sebarang papan tanda untuk memberi amaran kepada pengguna.

"Disebabkan itu, pengguna jalan raya yang melalui laluan di Jalan Kepong akan tiba-tiba terbabas ke kiri kerana tidak mahu terperangkap di persimpangan itu.

"Kami dimaklumkan tentang beberapa kemalangan di kawasan ini," katanya semasa sidang media.

Tambahnya, keadaan diburukkan lagi dengan pemandu dari Jalan 1/32A yang memandu terus melintasi jalan empat lorong untuk menggunakan Jalan 2/17.

Sementara itu, aktivis masyarakat Kepong Yee Poh Ping merayu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk segera memasang papan tanda jalan bagi menggambarkan perubahan laluan di kawasan itu.

Beliau berkata, pengguna jalan raya yang menggunakan laluan itu tidak peka kerana kekurangan papan tanda.

"Kepong sedang mengalami pembangunan pesat termasuk sistem jalan raya, kami memerlukan papan tanda yang lebih baik kerana ini melibatkan keselamatan jalan raya.”

Yee mencadangkan selain papan tanda, papan tanda arah boleh dicat di jalan untuk penglihatan yang lebih baik. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jalan Raya, Kepong, Baik Pulih, DBKL, Papan Tanda