Mangsa dibakar rakan di Kemaman mungkin alami kecacatan kekal — Polis


  • 112
  • Isnin, 25 Jul 2022

Sebahagian suspek kes bakar remaja lelaki di Kampung Perasing Jaya, Jabor direman lima hari. — Astro Awani

POLIS meminta saksi kes bakar melibatkan seorang remaja lelaki di Kampung Perasing Jaya, Jabor, dekat Kemaman, Terengganu, tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada awal pagi Jumaat disaksikan beberapa individu lain.

"Polis percaya terdapat beberapa individu yang membantu mangsa memadamkan api pada badannya dan membawa mangsa pulang ke rumahnya, kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian selepas dibakar.

"Kita mohon saksi kejadian ini tampil bagi membantu siasatan kerana kes ini serius. Mangsa mungkin mengalami kecacatan kekal pada anggota badan," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Hanyan berkata, kejadian menimpa mangsa yang keciciran sekolah itu dipercayai berpunca daripada tuduhan mencuri wang RM100.

Jelas beliau, remaja berkenaan disimbah minyak sebelum dibakar sehingga melecur pada bahagian leher hingga bahagian depan dan belakang badan.

Mangsa kini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang.

Susulan itu, beliau berkata, enam lelaki berusia 18 hingga 28 tahun ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram